Tiga sahabat maut kereta terbabas
SUNGAI PETANI - Tiga sahabat maut, manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar - Butterworth pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Aiman Rusdi, 17, Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, dan Muhammad Iman Mohd Akhir, 17.
Menurutnya, mangsa yang parah pula adalah Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, manakala seorang lagi cedera ringan.
"Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kereta jenis Honda EG dipandu Muhammad Aiman dari arah Bakar Arang menghala ke Padang Temusu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi kiri jalan.
"Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta belakang maut serta-merta di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Mayat ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Menurut Zaidy, penumpang yang parah juga dirawat di zon merah hospital sama.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!