Mangsa banjir panik, PPS hampir tenggelam
RANTAU PANJANG - Keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Tasek Bakong yang hampir ditenggelami air mencetuskan rasa panik dalam kalangan 295 mangsa banjir di lokasi tersebut pada Selasa.
Wakil penduduk, Kamarulzaman Daud, 37, berkata, air mulai naik sejak malam tadi dan PPS tersebut yang dibina sendiri oleh penduduk kampung hampir ditenggelami banjir sedalam 0.2 meter.
"Kami bina PPS di kawasan yang paling tinggi di kampung tetapi tidak sangka banjir kali ini air boleh sampai sehingga ke sini.
"Banjir kali ini lebih teruk jika dibandingkan Februari lalu malah ia menakutkan kerana air naik terlalu cepat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, PPS tersebut dibina berikutan PPS asal sudah tidak dapat diduduki kerana sering ditenggelami banjir.
Ujarnya, sekarang ini mereka sedang berusaha mencari pengangkutan seperti pacuan empat roda atau lori untuk memindahkan kesemua mangsa banjir.
Kamarulzaman berkata, mereka akan berpindah ke sebuah gudang dan perlu meredah laluan banjir sepanjang perjalanan ke sana.
"Kami harap sangat bantuan dapat dihulurkan segera kerana di sini ramai warga emas dan kanak-kanak," katanya.
Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan penduduk di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang membina sebuah PPS sendiri untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.
PPS yang hanya dilengkapi atap zink dan berlantaikan tanah serta kemudahan air dari sebuah perigi itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk dan dijangka memuatkan sebanyak 20 keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!