Juruteknik didakwa perdaya majikan RM800
JOHOR BAHRU - Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan memperdaya majikan sebuah syarikat bagi menyerahkan RM800 pada Mei tahun lalu.
Tertuduh Hong Yen How, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang majikan agar mempercayai sembilan pekerjanya disenarai hitam oleh syarikat keselamatan menyebabkan mereka tidak dibenarkan masuk ke tapak projek loji janakuasa solar fotovoltan berskala besar dalam daerah Pekan, Pahang.
Dia didakwa mengetahui bahawa senarai hitam berkenaan tidak wujud serta secara tidak jujur mendorong individu terbabit supaya membuat pembayaran atas talian sejumlah RM800.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 2.38 petang pada 25 Mei 2021, di sebuah bank di cawangan Kelapa Sawit, Kulai.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili oleh peguam Farah Farhana Effendi Onn.
Sebelum itu, Rifah mencadangkan wang jaminan RM10,000 manakala Farah Farhana memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM500 berikutan tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap selain menyara isteri serta empat cahaya mata serta ibu bapa.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM5,000 dan menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!