RM3 juta baik pulih cerun runtuh di Taman Bukit Berlian
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM3 juta untuk membaik pulih cerun runtuh di Jalan Bukit Berlian 5, Taman Bukit Berlian, Lobak di sini dalam kejadian 1 Disember lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, kerja-kerja membaik pulih telah pun bermula pada Isnin dan dijangka mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
"Ia membabitkan pembaikan cerun sepanjang 120 meter dengan kedalaman 30 meter dan jika berjalan lancar, ia akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
"Runtuhan cerun ini berlaku berpunca daripada aliran air luar biasa terutama pada waktu hujan lebat yang menyebabkan tanah menjadi lembut, seterusnya berlaku pergerakan," katanya ketika ditemui melawat lokasi pada Selasa.
Selain itu katanya, seramai 47 penghuni di 12 unit rumah di jalan berkenaan kini tinggal menyewa buat sementara waktu di kawasan berhampiran sehingga projek pembaikan cerun itu selesai.
Jelasnya, dalam tempoh tersebut, bayaran sewa rumah mereka akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Kita berterima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri dan mencari rumah sewa dengan harga berpatutan.
"Kita berharap kerja-kerja pembaikan ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Penduduk juga hanya dibenarkan pulang sebaik saja projek pembaikan selesai dan kawasan itu didapati benar-benar selamat," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga buah kereta terjunam ke dalam cerun sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian tanah mendap dan runtuh di kawasan berkenaan.
Malah runtuhan cerun di situ turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi menyebabkan runtuhan lebih besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!