KDNK dijangka melebihi unjuran 6.5-7.0 peratus - Anwar

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dijangka melebihi unjuran awal antara 6.5 peratus hingga tujuh peratus, kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dengan sentimen yang kekal positif pada hujung tahun 2022 serta prestasi ekonomi yang memberangsangkan ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan fasa peralihan ke endemik Covid-19, kadar pengangguran juga telah menurun kepada 3.6 peratus pada Oktober 2022.

"Pun begitu, ia masih belum pulih seperti mana kadar guna tenaga penuh sebelum krisis Covid-19 iaitu 3.3 peratus dan kebimbangan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur bawah 25 tahun yang masih tinggi iaitu mencecah 10 peratus," jelas Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, kekusutan konflik geopolitik yang berlaku menekan inflasi global dan melemahkan pertumbuhan ekonomi sementara kenaikan harga komoditi serta bahan makanan turut memberi dampak yang buruk kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

Menurutnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global menurun daripada 3.2 peratus untuk tahun 2022 kepada 2.7 peratus pada tahun 2023.

"Dalam mendepani dampak global yang mengesankan ini, Kerajaan Perpaduan mendukung prinsip keseluruhan negara.

"Semua pihak perlu bersama kerajaan dalam memformulasi pendekatan yang menyeluruh. Golongan maha kaya dan konglomerat yang meraih laba yang besar susulan peningkatan harga komoditi dan subsidi kerajaan mesti turut menyumbang ke arah sejahtera rakyat terutamanya B40, M40 dan peniaga kecil," kata Anwar.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, tambah beliau, syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) telah bersetuju untuk menyumbang RM10 juta bagi tahun ini dan RM50 juta bagi tahun hadapan kepada para pesawah miskin.

Kerajaan jelasnya juga sehabis daya akan memperkukuh petunjuk ekonomi, mengembalikan keyakinan pelabur serta bina semula Malaysia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan rasa terharu beliau dengan sambutan dan sokongan negara-negara luar yang memberikan komitmen dan kerjasama untuk meneroka potensi perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia.

"Misalnya, Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah) yang menawarkan supaya Brunei Investment Agency (Agensi Pelaburan Brunei) meneroka peluang pelaburan baharu di Malaysia dan ini sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara," jelas Anwar.

Beliau menambah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan Kementerian Kewangan turut ditugaskan untuk menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan meningkatkan pelaburan berkualiti ke arah menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia, terutamanya untuk golongan belia.

Pada masa yang sama, kawal selia bagi pekerja asing juga telah dipusatkan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan pemain industri dapat berkembang maju, khususnya sektor komoditi, pembinaan dan pelancongan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!