Hospital Tengku Anis terjejas banjir, pesakit dipindahkan

Keadaan wad hospital yang dilanda banjir. - Foto media sosial
Keadaan wad hospital yang dilanda banjir. - Foto media sosial
A
A
A

PASIR PUTEH - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bertindak pantas memindahkan 28 pesakit di Hospital Tengku Anis (HTA) di sini yang terjejas banjir sejak Ahad lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pesakit-pesakit dipindahkan ke tiga hospital iaitu Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Tanah Merah.

Katanya, kerja-kerja memindahkan pesakit iaitu seramai empat orang dilakukan pada Isnin malam manakala 24 lagi pesakit pada pagi Selasa.

“Air melimpah bermula jam 8.30 malam dan memasuki wad-wad, unit-unit serta laluan pejalan kaki di hospital secara beransur-ansur akibat hujan lebat.

“Demi keselamatan, JKNK memindahkan semua pesakit yang berada di dalam wad kerana ketiadaan bekalan elektrik yang boleh memberi risiko dalam rawatan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Air banjir memenuhi laluan pejalan kaki hospital di Pasir Puteh. - Foto media sosial
Air banjir memenuhi laluan pejalan kaki hospital di Pasir Puteh. - Foto media sosial

Beliau berkata, penilaian oleh pihak Radicare Sdn Bhd mendapati paras air meningkat termasuk di kawasan generator dan suis utama menyebabkan perlu menutup bekalan elektrik hospital.

“Perkhidmatan sokongan di hospital seperti Unit Radiologi, Patologi dan Unit Bekalan Bahan Steril (CSSU) terpaksa memberhentikan perkhidmatan kerana peralatan tidak dapat berfungsi atas faktor keselamatan.

Artikel Berkaitan:

“Unit-unit lain juga dalam usaha memindahkan aset-aset bagi mengelakkan rosak ditenggelami air,” katanya.

Dr Zaini
Dr Zaini

Menurut Dr Zaini, hujan mulai reda dan surut sekitar jam 4 pagi memberi kelegaan kepada pihak hospital dan membolehkan urusan memindah keluar pesakit dilakukan.

“Unit Radiologi dan Patologi masih tidak dapat berfungsi akibat beberapa peralatan terjejas banjir dan memerlukan pemeriksaan terlebih dahulu oleh pihak vendor.

“Bagaimanapun Unit Kecemasan & Trauma beroperasi dan menerima kes-kes kecemasan serta kes rujukan dari pusat pemindahan sementara (PPS) untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, pesakit dipindahkan dengan menggunakan ambulans dan lori menerusi bantuan Bilik Gerakan Banjir Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pasir Puteh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!