MAF sumbang RM350,000 bantu lebih 2,000 penerima
SHAH ALAM - Yayasan AEON Malaysia (MAF) menerusi program AEON Mesra telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM350,000 dan memanfaatkan lebih 2,000 penerima dari seluruh negara pada tahun 2022.
Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohd Noh berkata, sumbangan berkenaan adalah berbentuk barangan keperluan perayaan kepada keluarga yang memerlukan dan juga rumah-rumah kebajikan.
Menurutnya, dalam program yang murni itu, kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan akan diberi pengalaman membeli-belah yang menggembirakan di pasar raya AEON atau AEON BiG yang terpilih untuk mendapatkan pakaian menyambut perayaan dan barangan keperluan yang lain.
“Sempena perayaan Krismas tahun ini, AEON Mesra Krismas menyumbang sehingga RM55,000 melibatkan 300 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan penghuni rumah-rumah kebajikan seluruh negara.
“Program ini bermula pada 10 Disember 2022 dengan penyertaan daripada tiga pasar raya AEON dan dua cawangan AEON BiG berlokasi di Sarawak, Melaka, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Noryahwati berkata, acara kemuncak program itu telah diadakan di AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru pada 17 Disember lepas melibatkan seramai 100 kanak-kanak dari rumah kebajikan.
"Mereka telah dibawa membeli-belah untuk persiapan dan hadiah untuk perayaan yang bakal menjelma.
"MAF telah bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rumah kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Suria, Pusat Kebajikan Kalvari dan Pertubuhan Kebajikan Penyayang Permata Hati," katanya.
Selain jawatankuasa MAF dan pihak pengurusan AEON CO, aktiviti itu turut dibantu oleh sukarelawan dari Kumpulan Syarikat AEON (AEON Group of Companies) di Malaysia.
“Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi saat-saat yang istimewa bersama kanak- kanak ini. Setiap perayaan perlu disambut dengan hati yang gembira dan hari ini sudah tentu merupakan hari yang bermakna untuk mereka.
“MAF sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti dalam ekosistem kami. Kami akan sentiasa berusaha untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada inisiatif dan gerakan yang bermanfaat kepada masyarakat dan rakyat Malaysia,” tambah Noryahwati.
Program AEON Mesra adalah selaras dengan usaha MAF untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) SDG 16.
Kempen AEON Mesra telah dilaksanakan oleh MAF sejak tahun 2005 bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang memerlukan khasnya untuk persiapan di musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!