CAP terus bantah pembinaan kereta kabel Bukit Bendera
GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri untuk tidak membina kereta kabel yang menghubungkan Taman Kebun Bunga ke puncak Bukit Bendera berikutan ia dilihat memberi kesan serius kepada alam sekitar dan kesihatan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kesejahteraan rakyat dan keutuhan alam sekitar tidak harus dikorbankan hanya demi untuk menarik sumber kewangan daripada pelancong.
Menurutnya, penyediaan kereta kabel itu sudan tentu akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, taman tema, rumah dan jalan raya untuk menampung peningkatan bilangan pelancong dan penduduk.
"Pembangunan sebegini akan memberi kesan buruk kepada persekitaran bukit yang sensitif dan membahayakan keseimbangan ekologi.
"Ia pasti akan menyebabkan kehilangan litupan hutan dan pencemaran sungai di atas bukit. Ia juga akan mengakibatkan pengurangan habitat dan akibatnya menyebabkan kepupusan tumbuhan, haiwan, burung dan serangga yang berharga," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.
Mohideen berkata, disebabkan pembangunan yang dijalankan, ia akan menyebabkan hakisan tanah, kemerosotan pada cerun tanah dan peningkatan tanah runtuh.
Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya belajar daripada pengalaman sebelum ini terutama kejadian ribut dan banjir beberapa tahun lalu yang menyebabkan tanah runtuh secara besar-besaran, menumbangkan banyak pokok dan memutuskan perhubungan di atas bukit itu.
"Pada masa ini, lebih 5,000 orang mengunjungi bukit dan ini sudah melebihi daya tampung untuk mendukung kehidupan makhluk yang ada di dalamnya yang terhad di bukit tersebut.
"Peningkatan selanjutnya dalam bilangan pelawat dan penduduk, seperti yang dirancang oleh kerajaan, akan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam penggunaan sumber makanan, air dan tenaga serta pengeluaran sisa malah sisa boleh menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem bukit.
"Bukit itu tidak mempunyai kemudahan pembuangan kumbahan dan sisa yang mencukupi untuk mengendalikan sisa yang dihasilkan oleh sejumlah besar pelancong dan penduduk," katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, stesen kereta kabel ini akan terletak di tengah-tengah Taman Belia dan Taman Kebun Bunga.
Jelasnya, beribu-ribu pengunjung saban hari akan mengunjungi taman terbuka utama ini untuk bersenam dan untuk menikmati kedamaian dan ketenangan dalam persekitaran hijau.
Bagaimanapun, katanya kesan penempatan stesen itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di sana dan di kawasan kejiranan.
"Pencemaran udara dan bunyi akan mencapai had yang tidak boleh diterima dan merosakkan keseronokan mereka yang mengunjungi Taman Belia dan Taman Kebun Bunga.
"Bas pelancong dan kereta persendirian akan mengeluarkan gas ekzos berbahaya dan menghasilkan bunyi yang mengganggu persekitaran.
"Pembinaan kereta kabel dan aktiviti manusia yang seterusnya di atas bukit dan stesen itu akan menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida dan dengan itu meningkatkan lagi jejak karbon kita.
"Ini jelas sekali melanggar komitmen Malaysia di bawah Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) bagi mengurangkan jejak karbon," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pengunjung Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Chow Kon Yeow berkata, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta itu bakal dilaksanakan sebuah syarikat Hartasuma Sdn Bhd.
Menurutnya, syarikat tersebut berjaya dalam proses bidaan melalui Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan pada 13 Januari tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!