Ibu cekal jaga anak terlantar akibat kemalangan
JASIN - Nasib seorang pemuda yang membantu meringankan keluarga dengan bekerja sebagai tukang kimpal berubah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 15 Mac tahun lalu di daerah itu.
Muhammad Haikal Mohamad Taha, 21, yang ketika itu menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jasin sebelum dirempuh sebuah kereta hingga mengakibatkan dia tidak mampu menguruskan diri sendiri setelah terlantar di atas katil.
Ibunya, Faridah Yusop, 50, berkata, hati ibu mana yang sedih melihat anak harapan keluarga dan seorang yang periang bukan sahaja tidak boleh bercakap malah pergerakannya perlu dibantu.
Menurutnya, impak kemalangan itu, anak ketiga daripada empat beradik tersebut mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan dalam kepala, patah tulang rahang, patah tulang peha kiri dan luka.
Katanya, suaminya yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM750 sebulan sukar untuk menanggung kos perbelanjaan anaknya itu yang dianggarkan berjumlah RM2,000 setiap bulan, namun bersyukur ahli keluarga banyak membantu.
"Sebab anak saya hanya minum susu khas yang dianggarkan setiap bulan RM1,000 selain kos-kos lain termasuk upah mengurut dan kos rawatan susulan ke hospital.
"Biarpun suami hanya bekerja biasa manakala saya tidak bekerja tapi kami sedaya upaya akan pastikan keperluan Muhammad Haikal termasuk ubat-ubatan sentiasa mencukupi," katanya.
Faridah turut menerima kunjungan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka bersama Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwee Hee Sam di kediamannya di Kampung Kuala Sungga di Tebong di sini pada Selasa.
Tambah Faridah, dengan adanya bayaran bulanan daripada Perkeso berjumlah RM1,430 sebulan beserta Elaun Layanan Sentiasa (ELS) kepada penjaga, ia sekali gus dapat meringankan kos perbelanjaan anaknya itu setiap bulan.
"Alhamdulillah memang membantu, sebab susu khas agak mahal selain terpaksa sewa ambulans setiap kali menjalani rawatan fisio di Tampin, Negeri Sembilan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar berkata, Muhammad Haikal yang terlantar sakit menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM64,745 yang dibayar terus bagi bayaran pertama.
"Selain ELS diberikan penjaga, kita juga akan memberikan barangan pemulihan seperti lampin pakai buang dan susu untuk kegunaannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!