Bekas banduan didakwa tampar ibu, ugut toreh muka adik
MELAKA - Seorang bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan menampar muka ibu kandung berkali-kali, mencederakan anak saudara dan mengugut menoreh muka adik perempuan.
Mohmad Saufian Abu Noor, 41, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibu kandungnya berusia 69 tahun dengan cara menampar muka mangsa berkali-kali dengan menggunakan tangan.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya yang berumur 10 tahun dengan cara menampar pipi serta menarik rambut mangsa menggunakan tangan.
Tindakan itu dilakukan tertuduh di antara jam 10.30 pagi sehingga jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai di sini pada 15 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya dengan menakutkan untuk menoreh muka adik perempuannya berusia 32 tahun pada waktu, tempat dan tarikh sama.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira tertuduh mempunyai beberapa rekod lampau jenayah dan telah dijatuhkan hukuman.
Bagaimanapun dia yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan baharu sahaja dibebaskan dari penjara tujuh bulan lalu atas kesalahan mencuri kenderaan mewah.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 2 Februari depan sebagai serahan dokumen dan sebutan semula kes selain bersetuju dengan permohonan dikemukakan pihak pendakwaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!