Mangsa banjir di Kelantan meningkat 26,513 orang

AnggotaAPM melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Kampung Jejulok, Banggu, Kota Bharu pada Selasa.
AnggotaAPM melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Kampung Jejulok, Banggu, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Mangsa banjir di Kelantan meningkat lagi 1,160 orang iaitu mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 26,513 mangsa pada petang Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua mangsa melibatkan 7,379 keluarga itu ditempatkan di 133 pusat pemindahan sementara (PPS).

"Walaupun jajahan Jeli telah menutup kesemua PPS tetapi pertambahan mangsa banjir masih berlaku di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

"Kita jangka air dari sungai di Kuala Krai akan turun ke Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui di Kampung Morak di sini pada Selasa.

Sebelum itu beliau menziarahi keluarga tiga beradik perempuan yang menjadi mangsa renjatan elektrik.

Menurut beliau, di negara jiran seperti Hat Yai juga turut berlaku banjir buruk.

Ujarnya, pihak polis sentiasa mempergiatkan rondaan bagi memastikan kawasan terjejas banjir sentiasa dipantau.

Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sumbangan kepada
Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan isteri, Zainun Sulaiman, 62, semasa menziarahi mereka di Kampung Morak, Tumpat pada Selasa.
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Nadzir Mohamed, 67, dan isteri, Zainun Sulaiman, 62, semasa menziarahi mereka di Kampung Morak, Tumpat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zaki berkata, pihaknya juga turut melakukan pemantauan berkala bagi memastikan operasi menyelamat mangsa banjir berada pada tahap terbaik.

Beliau meminta orang ramai yang berada di kawasan rendah dan sering ditenggelami banjir supaya sentiasa waspada untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Sementara itu Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan melaporkan jajahan Pasir Mas masih kekal mencatatkan mangsa banjir paling teramai iaitu 6,994, diikuti Pasir Puteh (4,379), Tumpat (4,302), Kota Bharu (4,061), dan Kuala Krai (3,428).

Sementara itu, Tanah Merah (1,315), Bachok (1,158) dan Machang (1,124).

Manakala lima sungai di Kelantan masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Kelantan (Tangga Krai), Sungai Golok di Jenob, Rantau Panjang dan Kuala Jambu, serta Sungai Lebir.

Sungai Kelantan (Tambatan Diraja) dan Sungai Semerak (Jabatan Melor) kembali berada paras amaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!