Suraya dilantik Timbalan Pengerusi UMNO Kedah

Suraya (kiri), Shaiful Hazizy (kanan).
Suraya (kiri), Shaiful Hazizy (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Kedah berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan selepas Datuk Othman Aziz meletakkan jawatan tersebut pada November lalu.

Menurutnya, Suraya yang sebelum ini merupakan Ketua Penerangan UMNO Kedah dipilih mengisi jawatan nombor dua dalam parti itu dengan mendapat sokongan penuh.

“Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah membuat keputusan untuk melantik Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang bagi mengisi kekosongan itu.

“Kriteria pelantikan Suraya adalah berdasarkan kepada kemahiran yang beliau miliki selain fungsi spesifik yang boleh dimainkan untuk memantapkan kembali parti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Rombakan kecil barisan kepimpinan UMNO Kedah ini turut melibatkan jawatan yang disandang Suraya sebelum ini ditawarkan kepada Shaiful Hazizy yang sebelum ini merupakan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah.

Shaiful Hazizy tegaskan, UMNO Kedah terbuka untuk membuat lantikan terhadap mana-mana individu yang diyakini mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Tidak timbul isu Ketua-ketua Bahagian lain tidak mempunyai kelayakan atau kemampuan, masing-masing mempunyai tugas dan misi untuk memenangkan DUN masing-masing sebagai Pengarah Pilihan Raya di kawasan masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 November lalu, Datuk Othman Aziz mengumumkan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah sebagai menggalas tanggungjawab atas kekalahan teruk BN di negeri itu.

Othman yang turut kecundang di kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) percaya, kekalahan BN menunjukkan satu penolakan mutlak orang Melayu terhadap UMNO ketika ini.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, sudah tiba masanya parti itu bangkit dengan menyasarkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang dijangka diadakan pada tahun depan.

“Sasaran kita adalah Kerajaan Perpaduan ini diperkukuhkan untuk kita menang PRN, sememangnya proses pengukuhan persefahaman untuk menggerakkan gerak kerja sudahpun bermula.

"Sudah ada beberapa pertemuan dan perbincangan untuk bergerak secara bersama dengan melihat kepada kekuatan dan kelebihan masing-masing,” katanya.

Menurutnya lagi, buat masa ini UMNO Kedah sedang melakukan forensik dalaman berhubung kekalahan teruk BN dalam PRU15 lalu.

“Kita terima hakikat bahawa sesuatu yang drastik dan radikal perlu dibuat bagi menghadapi PRN akan datang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!