[VIDEO] Rantau Panjang 'tenggelam'
RANTAU PANJANG - Rantau Panjang 'tenggelam' apabila lebih 20 kampung di kawasan tersebut dilanda banjir pada Selasa.
Malah hanya bot dan lori 20 tan sahaja yang boleh digunakan untuk bergerak di kawasan berkenaan.
Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Pasir Mas, Kapten Mohd Arif Mohd Zain berkata, jalan utama untuk ke Rantau Panjang yang paling terkesan ialah Kalbot Lima.
"Air di kawasan tersebut dalam dan arusnya deras, membahayakan keselamatan bagi kenderaan ringan dan berat biasa," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, penduduk dari Kampung Kuin Merah, Muhammad Hazizul Shafez Junuh, 26, berkata, banjir kali ini telah menenggelamkan rumahnya.
"Banjir 2014, air di hadapan rumah sahaja, Februari lalu melimpah masuk ke dalam tetapi sekarang hanya kelihatan bumbung.
"Saya bersyukur kerana sempat menghantar ibu dan ayah ke rumah sepupu sebelum bermusafir ke Johor Jumaat lalu," katanya.
Muhammad Hazizul Shafez memberitahu, sehingga hari ini dia masih tidak boleh pulang ke rumah dan terkandas di Pasir Mas.
Ujarnya, semua jalan ke Rantau Panjang dilimpahi air yang dalam dan deras.
"Dari Johor saya sudah terkandas di Permaisuri, Terengganu selama dua hari (Ahad dan Isnin).
"Bila sampai di Kelantan, terkandas pula di Pasir Mas, saya harap banjir cepat surut kerana rindukan ayah dan emak serta bimbang keadaan rumah," katanya.
Muhamad Firdaus Kamarudin, 22, pula memberitahu, banjir buruk kali ini telah menyebabkan rumah yang baharu dibeli lima bulan lalu di Taman Rantau Baru ditenggelami air.
"Sedih sangat, lebih-lebih lagi melihat keadaan rumah yang baharu diduduki saya dan isteri serta anak.
"Februari lalu banjir di kawasan ini tidak seteruk sekarang tetapi tidak sangka kali ini sampai melimpah ke dalam rumah," katanya.
Menurutnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila kawasan mereka di Rantau Panjang hanya boleh dilalui bot dan kenderaan berat sahaja.
Ujarnya, keadaan banjir tersebut membuatnya dia sedikit panik dan bimbang.
"Saya berdoa agar banjir cepat surut dan keadaan kembali pulih seperti biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!