Tragedi Batang Kali kesan penerokaan tidak bertanggungjawab

Swe Yong (tiga dari kanan) bersama Timbalan Presiden PRM, Mohamad Ezam Mohd Nor (empat dari kanan) dan pimpinan parti itu melawat keluarga mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada malam Isnin di Nirvana Center, Kuala Lumpur.
Swe Yong (tiga dari kanan) bersama Timbalan Presiden PRM, Mohamad Ezam Mohd Nor (empat dari kanan) dan pimpinan parti itu melawat keluarga mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada malam Isnin di Nirvana Center, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali didakwa berlaku akibat kesan buruk daripada kegiatan penerokaan dan pembangunan ekonomi tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Koh Swe Yong berkata, kejadian sedemikian termasuk banjir yang didapati berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan kematian dan kehilangan harta benda itu bukanlah kali pertama berlaku.

“Terdapat insiden banjir dan tanah runtuh besar dan kecil di merata negara yang berulang kali berlaku, mengakibatkan kematian beramai-ramai dan kehilangan harta-benda rakyat.

“Ini menunjukkan pihak berkuasa dan pihak yang bertanggungjawab lalai, tidak bersungguh-sungguh menerima nasihat serta pandangan pakar penasihat dan tidak bertindak tegas dalam penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Setakat Ahad, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Genting-Batang Kali itu telah mengorbankan 24 nyawa dengan sembilan lagi mangsa masih belum ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan yang memasuki hari kelima pada Selasa.

Swe Yong berkata, untuk mengelakkan berulangnya insiden tersebut, pihak berkuasa perlu melaksanakan rancangan pembangunan secara lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan ditetapkan tanpa pilih kasih.

Katanya, kesan perubahan cuaca terhadap persekitaran juga perlu ditangani supaya kejadian serupa tidak terus berlaku di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!