Bomba pastikan setiap rumah terlibat banjir dikunjungi

Beberapa penduduk kampung di Pasir Mas menaiki sampan untuk meninjau keadaan rumah mereka. - Foto: Bernama
Beberapa penduduk kampung di Pasir Mas menaiki sampan untuk meninjau keadaan rumah mereka. - Foto: Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir perlu mengunjungi setiap rumah bagi menemui penghuninya.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, arahan itu perlu dititikberatkan khususnya di kawasan penempatan penduduk yang teruk ditenggelami air seperti di Pasir Puteh dan Rantau Panjang di Kelantan.

"Saya mahu setiap gerak kerja atau operasi penyelamatan yang dilaksanakan, tidak ada rumah yang terlepas daripada dilawati terutama di dua kawasan ini.

"Pastikan setiap rumah yang terlibat banjir kita lawati, temui isi rumah, pujuk dan buat pemindahan segera jika keadaan memerlukan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pengoperasian banjir oleh Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin di sini hari ini.

Seramai 1,294 anggota bomba terlibat dalam penugasan banjir di Kelantan.

Dalam pada itu, Ahmad Izram berkata, selain mendapatkan input bagi menambah baik perancangan dan pengoperasian banjir oleh jabatan itu, kehadirannya ke Kelantan juga bertujuan memberi sokongan moral dan menyuntik semangat kepada seluruh anggota yang bertugas.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Izram, beliau sedar anggota bomba telah kepenatan kerana berdepan pelbagai cabaran sejak banjir melanda pada 14 Dis lepas namun semangat serta dedikasi mereka amat dituntut dalam meneruskan misi menyelamat dan memindahkan mangsa.

Beliau berkata, pengoperasian JBPM turut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dari luar Kelantan yang menyediakan tenaga kerja serta 30 lori sekali gus meringankan beban penugasan yang terpaksa dipikul anggotanya.

"Kita harus bijak gembleng tenaga agensi dan NGO yang sedia membantu kita dalam membantu kerja-kerja pemindahan di kawasan kurang berbahaya, jadi anggota kita boleh menumpukan usaha menyelamat dan memindahkan mangsa di lokasi berisiko tinggi antaranya Pasir Puteh dan Rantau Panjang," katanya.

Ahmad Izram berkata, sejak 14 Disember hingga jam 2 petang tadi, JBPM Kelantan telah memindahkan seramai 4,251 orang daripada keseluruhan 18,632 mangsa yang direkodkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!