Perbicaraan mahkamah terhadap Suu Kyi masuki fasa terakhir
YANGON - Mahkamah junta Myanmar akan mendengar hujah terakhir dalam perbicaraan selama 18 bulan ke atas Aung San Suu Kyi pada minggu depan, kata sumber pada Selasa, sebelum mencapai keputusan muktamad terhadap pemenang Nobel tersebut.
Suu Kyi menjadi seorang banduan sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari 2021, sekali gus menamatkan tempoh singkat demokrasi di negara Asia Tenggara itu.
Dia disabitkan dengan 14 pertuduhan, iaitu dari rasuah hingga memiliki walkie-talkie secara haram serta melanggar sekatan Covid-19.
Menurut sumber yang rapat dengan kes tersebut, mahkamah junta akan mendengar 'hujah terakhir' dari kedua-dua pihak berkaitan lima baki pertuduhan rasuah pada 26 Disember 2021.
"Keputusan akan diumumkan selepas peringkat itu," kata sumber sambil menambah tarikh belum ditetapkan.
Katanya, Suu Kyi, 77, berada dalam keadaan sihat.
Setiap pertuduhan rasuah akan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Setakat ini, wartawan dilarang menghadiri perbicaraan mahkamah dan peguam Suu Kyi turut dilarang bercakap dengan media. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!