Tanah runtuh: Polis masih kenal pasti beberapa mangsa
BATANG KALI - Polis masih dalam proses mengenal pasti identiti beberapa mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya baru menerima dua laporan daripada waris mangsa berkenaan setakat Selasa.
"Dua laporan berkenaan kita telah membuat semakan dengan teliti. Buat masa sekarang, anggaran mangsa yang hilang masih seramai sembilan orang.
"Jumlah berkenaan kita perolehi daripada pengurus tapak perkhemahan dan kita masih dalam proses memperincikan lagi maklumat terbabit," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini pada Selasa.
Suffian berkata, pihak polis tidak dapat mendedahkan secara terperinci butiran mangsa berkenaan susulan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, beliau menggesa mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran supaya tindakan lanjut dapat diambil.
"Waris yang mana ada kehilangan keluarga saya seru mereka terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!