Messi berdepan insiden cemas
LIONEL Messi nyaris terhumban daripada bumbung bas yang dinaikinya ketika sesi perarakan bagi meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 selepas pulang ke Argentina pada petang Rabu.
Messi dan empat rakan sepasukannya termasuk Leandro Paredes dan Angel Di Maria yang dalam perjalanan ke padang Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) sempat menundukkan kepala ketika bas itu melewati wayar kabel kuasa.
Puluhan ribu penyokong memenuhi jalan raya bagi meraikan pemain sejurus pesawat yang membawa mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza di Buenos Aires selepas mengharungi 19 jam penerbangan.
Video insiden menunjukkan pemain tengah Atletico Madrid, Rodrigo de Paul menyedari kabel itu pada saat akhir dan pantas memaklumkan kepada rakan-rakan sepasukannya.
Paredes nyaris terjatuh tetapi dapat mengimbangkan diri apabila dia menundukkan kepala tepat pada masanya, namun kehilngan topi bola lisut yang terkena kabel.
Messi yang duduk di tengah dalam kalangan pemain-pemain Argentina sambil memeluk Piala Dunia jelas tergamam, namun kemudiannya dia dilihat ketawa sejurus insiden tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!