Penternak risau lembu lemas ditenggelami banjir

Seorang penduduk menyelamatkan seekor lembu peliharaannya ketika kawasan itu dinaiki air. - Gambar hiasan. Foto: Bernama
Seorang penduduk menyelamatkan seekor lembu peliharaannya ketika kawasan itu dinaiki air. - Gambar hiasan. Foto: Bernama
A
A
A
PASIR MAS - Seorang penternak lembu dari Kampung Gual Tambun di sini risau memikirkan nasib empat ekor lembu ternakannya yang sudah tiga hari ditinggalkan berhampiran dengan rumahnya yang dilanda banjir.

Mohd Riduan Ismail, 44, yang juga seorang pesara tentera, khuatir lembu-lembunya yang ditinggalkan itu akan lemas di tempat mereka ditambat.

"Waktu air mula naik Ahad lalu saya dah alihkan lembu-lembu itu ke tempat yang saya rasa selamat. Tapi banjir kali ini nampaknya lebih teruk dari yang jadi Februari lalu, saya risau lembu-lembu semua lemas ditenggelami air," katanya yang menumpang di rumah saudaranya di kawasan berhampiran sejak Ahad lalu.

Bercakap kepada Bernama pada Selasa, Mohd Riduan berkata, beliau sedang berikhtiar untuk melihat keadaan lembu-lembunya itu memandangkan akses melalui jalan raya untuk ke rumahnya yang sedikit pedalaman telah terputus kerana ditenggelami air melebihi paras pinggang.

"Kalau tak dapat bot atau sampan, nampaknya saya kena berenang," katanya.

Pemilik bengkel, Mohd Zasuki, 50, pula pasrah melihatkan lebih 10 kereta pelanggan di bengkelnya ditenggelami air.

Mengimbas kembali detik ketika bengkelnya dinaiki air, Mohd Zasuki berkata, beliau bersama seorang pembantunya hanya sempat mengalihkan beberapa kenderaan memandangkan paras air naik dengan begitu cepat.

"Kami hanya alihkan (kereta) mana yang sempat sahaja. Buat masa ini saya belum boleh anggarkan berapa jumlah kerugian yang dialami. Selain kereta-kereta pelanggan yang tenggelam, saya juga khuatir peralatan dan mesin yang digunakan untuk membaiki kereta turut rosak,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kepada pengusaha yang terjejas dengan banjir bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka.
Artikel Berkaitan:


Pendapatnya itu disokong oleh peniaga kedai runcit, Zaki Yaakob, 41, yang menganggarkan kerugian dialaminya kali ini melebihi RM100,000 apabila semua barangan jualan di kedainya rosak dan tidak boleh diniagakan lagi.

Zaki turut berharap agar kerajaan dapat mempercepatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) bagi membolehkan masalah banjir di daerah itu selesai.

"Kalau tanya orang veteran di sini, semua cakap cepatkan PLSB sebab sekarang ini air tak boleh mengalir. (Jadi) sistem tebatan ini siapkan cepat...kesian orang kampung yang kebanyakannya penoreh, petani dan penternak,” katanya.

Beliau mendakwa sejak projek PLSB dimulakan, limpahan Sungai Golok yang mengakibatkan banjir akan berlaku lebih cepat dan sekali ganda lebih dalam berbanding 0.5 meter sebelum projek itu dimulakan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!