Bina 'CCTV' dalam diri awasi kelakuan
SKUDAI - Setiap individu harus membina 'kamera litar tertutup' (CCTV) dalam diri dalam usaha mengawasi kelakuan masing-masing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sinar Untuk Malaysia #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, pengawasan sedemikian bakal memupuk nilai moral yang tinggi.
"Hanya dengan nilai moral yang tinggi dan ilmu pengetahuan mampu menjadi benteng bagi menyelamatkan diri ketika ruang-ruang rasuah terbuka luas di depan mata.
"Tambahan pula kita membawa peranan sebagai individu, ahli keluarga, ahli komuniti dan rakyat Malaysia harus membina 'CCTV' dalam diri kita.
"Selain itu, karakter yang teguh dengan berpegang kepada nilai agama adalah jati diri yang perlu dibina dengan daya tahan yang tinggi dengan mengetahui impak dan implikasi negatif angkara rasuah," katanya.
Nurhayati berkata demikian pada forum bertajuk Mahasiswa Anti-Rasuah, Mahasiswa Bermaruah sempena Minggu Integriti Sem 1, 2022/2023 di Bilik Kuliah N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada Selasa.
Forum berkenaan turut menampilkan Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nor Lokman Samingan; Pensyarah Fakulti Sains Sosial UTM, Profesor Dr Aisyah Panatik Abdul Rahman serta Pegawai Integriti (Unit Integriti Jabatan Canseleri UTM), Raihan Abd Karim selaku moderator.
Selain forum berkenaan, beberapa aktiviti menarik seperti pameran berkenaan integriti/anti rasuah, sesi perkongsian daripada bekas pesalah jenayah rasuah turut diadakan.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik.dan Antarabangsa), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Hishamuddin Mohd Ali berkata, Minggu Integriti berkenaan diharap dapat menerapkan nilai jati diri dalam diri seorang mahasiswa bagi membentuk keperibadian yang berintegriti.
Menurutnya, keperibadian sedemikian seterusnya akan memupuk nilai-nilai murni termasuk menolak budaya atau amalan rasuah dalam kehidupan seharian.
"Sebenarnya banyak lagi komponen yang perlu diterapkan kepada mahasiswa, tetapi paling utama adalah nilai jati diri.
"Malah, ia dilihat bersesuaian dengan motto UTM itu sendiri iaitu 'Kerana Tuhan, Untuk Manusia.'
"Oleh itu, diharapkan agar penghayatan kepada nilai jati diri dapat diteruskan oleh mahasiswa khususnya di UTM itu sendiri walaupun program bagi Minggu Integriti kali ini berakhir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!