MOM lancar Tabung Pendidikan Atlet

Mohamad Norza (kiri) dan Hannah di ABM, Bukit Kiara pada Selasa. -Foto FB OCM
Mohamad Norza (kiri) dan Hannah di ABM, Bukit Kiara pada Selasa. -Foto FB OCM
A
A
A

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melancarkan Tabung Pendidikan Atlet MOM pada awal tahun depan bagi membantu membiayai serta menampung kos pengajian atlet kebangsaan yang berkelayakan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, cadangan yang dikemukakan Lembaga Eksekutif MOM pada 22 November lalu itu telah diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM.

“Butiran terperinci termasuk mekanisme, kriteria dan kertas kerja tabung ini akan diperincikan oleh Pengurusan MOM untuk kelulusan Lembaga Eksekutif MOM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-203 yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Rabu.

Tabung Pendidikan Atlet MOM akan menggantikan Tabung Pendidikan Atlet Tan Sri Alex Lee yang diwujudkan pada November 1999 bagi mengenang jasa mantan Naib Presiden MOM itu.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, MOM telah menyatakan beberapa hasrat mereka termasuk meneruskan idea untuk mewujudkan organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan selepas mengadakan perbincangan dengan Hannah.

Menurutnya, MOM mencadangkan idea itu tahun lalu walaupun ia tidak dapat diteruskan semasa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi Menteri Belia dan Sukan.

“Saya membangkitkan isu ini dengannya (Hannah) pagi ini (Selasa) dan berkata yang kita perlu menyusun satu struktur yang bebas daripada permasalahan politik.

Artikel Berkaitan:

“Ini bagi memastikan perancangan jangka sederhana dan panjang kita tidak terganggu oleh perubahan politik (seperti yang berlaku sebelum ini).

“Reaksi awalnya adalah positif dan kami berharap beliau kekal (sebagai menteri Belia dan Sukan) untuk lima tahun supaya perancangan itu dapat berjalan lancar,” ujarnya.

Pada November tahun lalu, MOM mencadangkan penubuhan organisasi dan cadangan itu pernah disuarakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika post mortem sebaik tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

MOM mencadangkan penubuhan sebuah organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi terutamanya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!