Tanah runtuh: Polis dalam proses memadan data, laporan

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses memadankan data mangsa tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor dengan laporan polis oleh waris.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang masih hilang dan belum dikenal pasti.

"Sudah memasuki hari ke-lima tragedi ini berlaku, PDRM yakin akan ada waris yang tampil ke balai memaklumkan ahli keluarga mereka tidak dapat dikesan dan dipercayai hilang," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke majlis pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri ke Pantai Timur pada Rabu.

Menurutnya, usaha pencarian mangsa di lokasi diteruskan selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan mengesan beberapa petunjuk kedudukan mangsa dalam runtuhan tanah terbabit.

"Semalam (Selasa) ada jasad telah ditemui dan difahamkan beberapa lagi telah dikesan bomba.



"Usaha ini diteruskan lagi pagi ini untuk membawa mereka keluar dari tempat kejadian," jelasnya.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi pada Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir yang melanda di Pantai Timur, beliau berkata, hanya terdapat satu balai dinaiki air.

"Kita telah mengaturkan bantuan tenaga ke tempat-tempat dilanda banjir dengan menggunakan elemen tenaga," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!