Banjir: Lapan stesen minyak ditutup di Terengganu

Saharuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir si PPS Dewan Sivik Bukit Payong, Marang.
Saharuddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir si PPS Dewan Sivik Bukit Payong, Marang.
A
A
A

MARANG - Sebanyak lapan stesen minyak di Terengganu terpaksa ditutup operasi sementara kerana ditenggelami air susulan banjir besar melanda negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia sebagai langkah awal bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, jumlah penutupan itu melibatkan tiga stesen minyak di Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu dan Dungun.

"KPDN telah menerima permohonan untuk menutup operasi kerana stesen minyak dinaiki air dan kita membenarkan supaya tidak berulang isu petrol bercampur air dan isu keselamatan terutama melibatkan penggunaan elektrik.

"Sebelum ini pernah berlaku kes petrol bercampur air namun pengusaha stesen minyak mengambil tanggungjawab," katanya selepas menyampaikan sumbangan makanan kering kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong, di sini malam Selasa.

Saharuddin berkata, terdapat 181 stesen minyak di seluruh Terengganu bagi membekalkan bahan bakar kepada rakyat negeri ini.

Jelas beliau, KPDN sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa supaya keperluan bahan bakar kenderaan untuk kegunaan penduduk setempat tidak terjejas serta mendapat bekalan secukupnya.

"Namun jika berlaku gangguan bekalan yang kritikal, kita akan menempatkan kenderaan stesen minyak bergerak, Petronas ROVR di lokasi yang difikirkan perlu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Petronas ROVR adalah perkhidmatan mengisi minyak bergerak menggunakan trak yang membawa muatan bahan api berkapasiti 700 liter dan 13000 liter.

Perkhidmatan tersebut membolehkan orang ramai termasuk pasukan penyelamat mendapat akses bahan api dengan lebih mudah dan pantas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!