MASTAF dibubarkan
PERSEKUTUAN Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) mengumumkan pembubaran badan induk itu berkuat kuasa pada Selasa.
Presidennya. Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, keputusan itu sudah mula dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi MASTAF pada 8 Disember lalu.
Jelasnya lagi, keputusan itu bukan hanya semata-mata berpandukan tindakan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) menyatakan hasrat menganggotai semula Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), pada Isnin.
"Sebenarnya rundingan mengenai pembubaran ini sudah dimulai pada 8 Disember lalu, yang diinisiatifkan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersama dengan PSM untuk bergabung (MASTAF, PSM), yang mana pada mulanya semua berjalan lancar.
"Namun kita menyedari perbincangan itu (PSM) tidak ikhlas. Mereka tidak menunaikan janji dalam perbincangan itu. Jadi kita pilih jalan terbaik iaitu tidak dapat maju ke depan (bubar)," katanya.
Katanya lagi, keputusan itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda arena sepak takraw negara demi kelangsungan pembangunan sukan berkenaan serta menjaga kebajikan atlet.
Jelas Suhaili, empat badan induk negeri yang sebelum ini bernaung di bawah MASTAF iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Sarawak akan menentukan sendiri sekiranya mereka mahu bernaung di bawah PSM.
"Keputusan bernaung di bawah PSM terserah pada mereka...macam saya akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Persatuan Sepak Takraw Labuan untuk membuat keputusan, dan besar kemungkinan saya turut akan mengundur diri daripada menerajui Persatuan Sepak Takraw Labuan," ujarnya.
Untuk rekod, kemelut sepak takraw negara bermula apabila Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Februari tahun lalu.
Sementara itu, MASTAF pula merupakan badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu ASTAF Mac lalu dan turut diterima menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada April.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan sebelum ini mengesahkan menerima permohonan PSTPs untuk menyertai semula badan induk itu dan akan disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang akan diadakan tidak lama lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!