Petani rugi lebih RM15,000 tanaman ditenggelami banjir
RANTAU PANJANG - Seorang petani mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila tanaman 'timun baby' yang diusahakan di Telaga Mas di sini ditenggelami banjir.
Muhamad Nurul Hafiz Md Nor, 30, berkata, kawasan kebun fertigasi miliknya itu ditenggelami banjir sedalam 1.5 meter sejak Sabtu lalu.
"Selalunya apabila banjir tanaman tidak ditenggelami air kerana ia berkonsepkan fertigasi.
"Tetapi banjir luar biasa kali ini telah menenggelamkan kesemua 1,500 polibag yang ada, malah semua laluan untuk ke kebun juga sukar dilalui kerana airnya dalam," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurutnya, sejak 11 tahun mengusahakan tanaman tersebut ini merupakan kali pertama diuji dengan kejadian berkenaan.
Ujarnya, dia hanya sempat mengutip hasil tidak sampai separuh disebabkan keadaan cuaca.
Muhamad Nurul Hafiz memberitahu, jika hari biasa pendapatan yang diperolehi hasil jualan bersih 'timun baby' tersebut ialah sekitar RM350 sehari.
"Tengok kepada keadaan sekarang, saya hanya mampu berdoa agar banjir cepat surut dan cuba menyelamatkan baki yang masih ada.
"Bagaimanapun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus bertani, rezeki ALLAH itu datang dari pelbagai cara, hilang yang ini datang yang lain. Asalkan kita rajin usaha," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!