Bruyne tekad bantu Guardiola barakan City
PEMAIN sensasi, Kevin De Bruyne bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan bersama Manchester City selepas Pep Guardiola memperbaharui kontraknya baru-baru ini.
Guardiola menandatangani kontrak lanjutan dua tahun ketika Piala Dunia 2022 hangat berlangsung di Qatar.
City dalam misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kelima musim ini dengan The Citizens ketinggalan lima mata daripada pendahulu Arsenal sebelum saingan liga bersambung semula.
De Bruyne juga percaya komitmen pengurus itu boleh memberi inspirasi kepada juara bertahan itu untuk terus menjulang trofi.
"Ia adalah berita baik untuk didengar semasa kami tiada.
"Pep (Guardiola) sudah melakukan begitu banyak untuk kelab dan saya pasti dia akan terus melakukannya," ujar De Bruyne.
De Bruyne mengejutkan kanak-kanak di acara City in the Community apabila kelab itu menderma £190,000 (RM1.1 juta) sempena perayaan Krismas hujung minggu ini.
Beberapa pemain bintang termasuk Erling Haaland dan Riyad Mahrez turut meluangkan masa bersama pesakit di Hospital Kanak-kanak Diraja Manchester.
Selepas berakhir Piala Dunia, De Bruyne mengakui memerlukan sedikit masa menyesuaikan diri untuk kembali bersaing di EPL.
"Kami perlu menyesuaikan diri dengan keadaan," katanya.
Bruyne memberitahu, terdapat juga cabaran yang berbeza daripada segi fizikal dan mental, tetapi beliau dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk separuh kedua musim ini.
"Kami akan melakukan segalanya yang kami mampu untuk mencuba mendapatkan kembali rentak dan memastikan kami mempamerkan persembahan yang baik" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!