'Yakin akan temui mangsa lain'

Pasukan operasi tanah runtuh yakin akan menemui baki mangsa susulan penemuan satu mayat kanak-kanak pada lewat malam Selasa. - Foto JBPM Selangor
Pasukan operasi tanah runtuh yakin akan menemui baki mangsa susulan penemuan satu mayat kanak-kanak pada lewat malam Selasa. - Foto JBPM Selangor
A
A
A

BATANG KALI - Pasukan penyelamat yakin akan menemui baki mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting di sini, di kawasan berdekatan susulan penemuan satu mayat kanak-kanak pada lewat malam Selasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai di sektor C (riverside).

"Mayat itu dijumpai hasil kerja pengorekan jentera excavator.

"Operasi sebelum itu telah dijalankan di lokasi terbabit namun dihentikan selepas di kedalaman galian kira-kira 12 meter selain terdapat batu besar.

"Ketika itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menyangkakan sudah berada di tanah asal, namun pengiraan tanah dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mendapati tanah tertimbus masih dalam lagi sebelum penggalian dilakukan sekali lagi hingga menemui mangsa," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di kedalaman kira-kira lima meter di kawasan riverside. - Foto JBPM Selangor
Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di kedalaman kira-kira lima meter di kawasan riverside. - Foto JBPM Selangor

Beliau berkata, petugas operasi yakin akan menemui mangsa lain di kawasan berdekatan.

Katanya, operasi yang memasuki hari keenam hari ini membabitkan kekuatan 106 pegawai dan anggota iaitu berkurangan berbanding 135 anggota sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai jumlah anggota SAR yang dikurangkan, beliau berkata, keadaan tanah yang lembut dan berair dikhuatiri berisiko kepada pasukan keselamatan.

“Kita menggunakan teknik menebang pokok sebagai lantai bagi laluan excavator selain menghadkan pergerakan masuk di lokasi,” katanya.

Selain itu, katanya, anggota keselamatan turut ditugaskan di lokasi untuk memantau keadaan tanah dan sekiranya ada pergerakan atau gelinciran tanah, mereka akan membunyikan siren.

Beliau berharap orang ramai mendoakan keselamatan pasukan SAR dan berharap baki lapan mangsa yang hilang dapat ditemui hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!