'Rumah tong' selamatkan Pokwe sekeluarga daripada banjir
Pemilik rumah, A Bakar Che Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, berkata, hasil sentuhan kreatif seni bina rumah terapung itu diinspirasikan daripada ‘reban ayam terapung’ yang dibinanya pada 2019.
Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam berkata ini kali pertama kediamannya yang siap dibina pada 16 Sept lepas dan dinamakan ‘Rumahku, Rakitku’ berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.
"Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih (untuk dibina)... rumah ini mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air manakala ia juga boleh menampung seberat 15 tan metrik,” katanya ketika di kediamannya pada Rabu.
Pokwe berkata, rumah itu dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya.
Menurutnya, sebelum rumah itu siap dibina, dia sering terkesan dengan banjir di kawasan terbabit sejak tujuh tahun lepas.
"Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir.
"Sebelum ini, saya tidak berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), saya hanya duduk di rumah saya yang lain... ia tidak jauh dari sini,” katanya.
Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumahnya yang dirakam oleh seorang anaknya menerusi aplikasi TikTok meraih perhatian netizen di media sosial.
"Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka.
"Saya juga sudi untuk tunjuk bagaimana kaedah pembuatan rumah ini tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Kalau mereka (orang ramai) ingin buat lagi kukuh... saya boleh ajarkan,” ujarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!