Mendapan tanah Taman Bukit Tambun tunggu kajian konsultan

Zaidi
Zaidi
A
A
A

ALOR GAJAH - Konsultan bebas akan dilantik untuk membuat kajian keseluruhan taman perumahan Bukit Tambun Durian Tunggal di sini, yang didakwa penduduk berisiko berlaku kejadian tanah runtuh.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, pemaju juga akan membuat kajian sama dan hasil kajian itu akan digunakan sebagai asas untuk dibuat pembetulan selepas kajian konsultan bebas itu siap.

Menurutnya, kajian pihak ketiga itu penting untuk mengetahui status struktur tanah sama ada kawasan terkesan di taman perumahan itu masih selamat didiami atau sebaliknya.

"Jadi kita akan ada dua kajian berbeza, satu kajian daripada pemaju dan satu pihak ketiga (konsultan).

"Konsultan itu akan dilantik oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melalui pemantau Bahagian Forensik Ibu pejabat Jabatan Kerja Raya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Tambahnya, selain taman berkenaan, beliau turut mendapat aduan masalah yang sama di lokasi pembinaan belum siap di kawasan Masjid Tanah.

Katanya, sekarang bukanlah masa untuk menyalahkan mana-mana pihak, namun tidak menolak kemungkinan berlakunya kejadian itu disebabkan faktor cuaca.

"Saya juga tidak menolak sewaktu kerja-kerja pelaksanaan tapak dan juga pembinaan mungkin pihak kontraktor tidak melihat kepada kerja teratur yang lebih lanjut dalam kejuruteraan.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ketika pelaksanaan ada perkara-perkara tidak dipertimbangkan atau kesilapan pertimbangan pelaksanaan hingga berlaku kejadian seperti ini," katanya lagi.

Baru-baru ini lebih 50 penduduk di dua buah lorong Taman Bukit Tambun hidup dalam kebimbangan susulan mendapan tanah yang dikhuatiri boleh menyebabkan tanah runtuh seperti insiden di Batang Kali, Selangor.

Difahamkan mendapan berlaku sejak sebulan lalu dan menyebabkan beberapa rumah mengalami keretakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!