Mangsa ke-26 ditemukan berpelukan dengan anjing peliharaan
BATANG KALI - Mangsa ke-26 tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali di sini ditemukan maut dalam keadaan berpelukan dengan anjing peliharaannya pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa lelaki dewasa itu ditemui di kedalaman 4.5 meter di sektor B sekitar jam 11.19 pagi.
"Kita jumpa mangsa berkenaan bersama dua ekor anjingnya. Semasa ditemui mangsa berpelukan dengan salah satu anjing berkenaan.
"Kemungkinan besar mereka berkhemah di sektor A dan telah dibawa oleh tanah runtuh ke bawah," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Rabu.
Hafisham berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari keenam berjalan dengan lancar susulan beberapa petunjuk positif berjaya ditemui pasukan penyelamat.
Katanya, hasil usaha pasukan SAR yang bekerja keras, pihaknya berjaya mengesan seorang lagi mangsa di sektor A bagaimanapun kerja-kerja menyelamat masih dijalankan.
"Operasi (SAR) ditumpukan di sektor C buat masa ini, namun jika cuaca hujan saya akan hentikan operasi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihak polis masih dalam proses mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemui berkenaan.
"Mayat berkenaan dikenal pasti sebagai satu lelaki dewasa, namun umur belum dikenal pasti lagi dan mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh.
"Ditemui bersama mayat berkenaan adalah dua ekor anjing dan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!