Remaja selamatkan kanak-kanak lemas terima anugerah Hero Bomba
SEREMBAN - Tindakan berani seorang remaja lelaki berusia 14 tahun menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal di Terengganu baru-baru ini mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, yang merupakan anak seorang nelayan menerima sijil penghargaan khas 'Hero Bomba' yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dalam satu majlis diadakan sempena lawatan rasminya di JBPM Negeri Sembilan pada Rabu.
Muhammad Zulfikal berkata, dia tidak menyangka menerima anugerah itu dan akan menjadi pembakar semangat buatnya untuk membantu lebih ramai orang.
"Sepanjang umur saya, ini anugerah paling besar saya dapat dan ia membuatkan saya rasa bangga.
"Ketika kejadian saya hanya fikir untuk selamatkan mangsa dan tak mengharapkan apa-apa. Tapi saya memang minat bidang tugas pasukan penyelamat," katanya yang menyertai badan beruniform Kadet Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal di Terengganu.
Tambah Muhammad Zulfikal, dia sememangnya pandai berenang dan selalu turun ke laut mengikut bapanya.
Sementara itu, bapanya, Asmadi Ripin, 42, tidak menyangka tindakan anaknya itu mendapat perhatian ramai.
Ujarnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas diceritakan oleh Muhammad Zulfikal yang kelihatan keletihan apabila pulang ke rumah.
"Saya tahu dia mahu ke pantai kerana sebelum keluar dia beritahu saya.
"Tapi ketika dia pulang ke rumah, saya pelik tengok dia dalam keadaan penat. Bila saya tanya kenapa, dia beritahu tolong orang lemas," katanya.
Sebagai bapa kata Asmadi, dia bangga mempunyai anak yang suka membantu dan sentiasa berpesan supaya sentiasa ikhlas dalam apa jua pertolongan diberi.
"Bagi saya membantu orang itu adalah perkara biasa. Saya difahamkan selepas kejadian itu ramai yang mencari anak saya, tapi dia terus pulang ke rumah," katanya
Dalam kejadian jam 5.30 petang, 16 Disember lalu, Norhidayatul Khairulnissa Mohamad, 12, dari Bandar Seri Bandi, diselamatkan daripada lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk bersama ahli keluarganya.
Selepas itu, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.
Tindakan berani remaja itu mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji keberanian remaja itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!