Banjir: Warga emas terperangkap dua hari diselamatkan

Anggota bomba tiba di rumah dan membantu mengeluarkan mangsa ke tempat selamat. Foto: Bomba
Anggota bomba tiba di rumah dan membantu mengeluarkan mangsa ke tempat selamat. Foto: Bomba
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas berjaya dikeluarkan pasukan bomba selepas dua hari terperangkap di rumahnya yang terputus hubungan akibat banjir di Kampung Tanjung Sabtu di sini pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, lelaki berusia 69 tahun itu selesai dibawa keluar pada jam 1.35 petang dengan bantuan enam anggota bomba dan tiga orang kampung.

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira satu jam kerana terpaksa menggunakan jalan belukar ekoran jalan raya dinaiki air sedalam 1.5 meter selain arus kuat.

“Kita tidak boleh menggunakan bot kerana ada jalan raya tidak ditenggelami air, hanya beberapa tempat.

"Jadi kita masuk melalui belukar dengan bantuan orang kampung sebagai penunjuk jalan,” katanya di sini pada Rabu.

Rozizah berkata, warga emas tersebut berada dalam keadaan baik kerana mempunyai bekalan makanan di rumah.

“Mangsa kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Jeram,” katanya.

Sehingga jam 2 petang, seramai 39,634 penduduk di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang terjejas banjir dipindahkan ke 279 PPS di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!