Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya, selewat-lewatnya 28 Disember ini.

Tuan Ibrahim selaku plaintif memfailkan saman pada 17 November lepas terhadap Rafizi berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.

Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Tuan Ibrahim berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan sebelum atau pada 11 Januari tahun depan.

"Sekiranya terdapat permohonan interlokutori, kedua-dua pihak perlu memfailkannya sebelum pengurusan kes pada 25 Januari 2023,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof secara dalam talian pada Rabu.

Dalam saman itu, Tuan Ibrahim mendakwa Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan kenyataan itu turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 November lepas.

Timbalan Presiden PAS itu mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud dalam tempoh kerajaan sementara, terdapat rundingan, perbincangan dan usaha melibatkan plaintif giat dijalankan bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen atau pembantunya menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan serta video serupa secara langsung atau tidak langsung selain menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!