Tanah runtuh: Semangat bomba cari mangsa hilang masih tinggi
SEREMBAN - Moral dan semangat pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm Jalan Batang Kali, Selangor untuk meneruskan tugas pencarian masih tinggi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ada anggota yang berada di lokasi sejak hari pertama insiden pada jam 2.30 pagi tidak mahu meninggalkan lokasi walaupun dibenarkan berehat.
"Setakat ini kita terima laporan dua saja pegawai kita yang terpaksa dikejarkan ke hospital iaitu Pegarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis dan pegawai dari JBPM Kuala Kubu Bharu.
"Sebenarnya dia (Norazam) sejak hari pertama hingga hari ketiga dan keempat telah dinasihatkan untuk berehat. Tapi semangat dia kuat sehinggakan walaupun berehat pun masih mahu berada di lokasi untuk melihat SAR dilakukan.
"Seorang lagi pegawai (bomba) kini berada di Institut Jantung Negara (IJN) namun stabil. Dia mungkin kepenatan ditambah pula mempunyai latar belakang penyakit jantung," katanya.
Jelasnya, berdasarkan topografi dan keadaan tanah yang tidak stabil selain berbukit di situ, situasi agak mencabar dan memerlukan banyak tenaga.
Bagaimanapun katanya, kebajikan setiap anggota SAR terlibat sentiasa dijaga dan mereka perlu mendapatkan rehat secukupnya bagi meneruskan operasi pencarian.
"Penglibatan anggota telah disusun secara penggiliran terutama yang bertugas di kawasan dikategori merah kerana memerlukan banyak tenaga manusia.
"Pada masa sama turut dibantu aset hidup iaitu enam ekor anjing K9, jentolak dan enam kenderaan berat. Jadi dalam erti kata tiada yang bekerja melampaui masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!