2 juta kenderaan di lebuh raya sempena cuti Krismas

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 2 juta sehari sempena cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, lebih dari 1.8 juta kenderaan direkodkan secara konsisten berikutan bermulanya cuti sekolah.

"Sejak memasuki fasa endemik, PLUS merekodkan jumlah trafik yang tinggi iaitu sebanyak 1.8 juta kenderaan sehari berbanding 1.6 juta kenderaan sehari pada tahun 2019, iaitu sebelum pandemik Covid-19.

“Berdasarkan corak perjalanan pelanggan dan data trafik ketika cuti perayaan dan cuti hujung tahun lalu, kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan melalui rangkaian lebuh raya kami setiap hari.

"Oleh itu, pelanggan lebuh raya disarankan untuk mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) disediakan PLUS.
Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) disediakan PLUS.

Menurutnya, pada masa sama, pelanggan juga dinasihatkan bersedia untuk menempuh tempoh perjalanan lebih panjang disebabkan lonjakan trafik ini.

"Jadual TTA itu boleh dirujuk di laman web PLUS di www.plus.com.my atau saluran-saluran media sosial kami,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zakaria berkata, bagi perjalanan dari Lembah Klang ke utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain Johor (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023), pelanggan dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

"Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang," katanya.

Tambah beliau, bagi perjalanan ke Lembah Klang pula (pada 23 Disember 2022 hingga 2 Januari 2023), pengguna dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi untuk perjalanan kembali semula ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain.

”TTA bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutamanya di laluan-laluan kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini.

"Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat,” jelasnya.

Menurut Zakaria, dengan mematuhi TTA, ia boleh memberikan pengalaman perjalanan kepada pengguna lebuh raya secara lebih baik.

"Selain daripada TTA, PLUS juga mengambil langkah lain bagi mengimbangi lonjakan trafik dan pada masa sama, menyediakan perjalanan yang lancar dan selesa ketika musim perayaan," tambahnya.

Beliau berkata, PLUS juga telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja dan tiada penutupan lorong bermula 23 Disember hingga 26 Disember, dan di antara 30 Disember 2022 hingga 1 Januari 2023 untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Bagaimanapun, Zakaria memaklumkan penutupan lorong mungkin terpaksa diadakan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kenderaan terlibat dalam kemalangan, kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal atas sebab keselamatan.

Beliau turut menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk merujuk laman Twitter PLUS untuk mendapatkan maklumat terkini atau menggunakan Aplikasi PLUS bagk membolehkan mereka untuk mengenal pasti kawasan yang mengalami kesesakan.

Tambahnya lagi, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya bersedia secara fizikal dan mental untuk perjalanan jauh, termasuk lebih berhati-hati ketika memandu pada musim hujan.

”Pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik, mendapat rehat yang cukup, dan sediakan keperluan penting seperti air, susu tepung bayi, ubat-ubatan untuk orang tua dan makanan ringan dalam kenderaan.

”Mereka digalakkan untuk berhenti rehat di kawasan rehat & rawat (R&R) atau hentian sebelah dari masa ke masa sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya.

Jelas beliau, pelanggan lebuh raya turut diingatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-wallet mereka mempunyai baki yang mencukupi supaya mengelakkan sebarang kesulitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!