40 premis jualan di Selangor alami kekurangan bekalan telur

Mohd Zuhairi (dua dari kiri) meninjau jualan di sebuah pasar raya di Klang pada Rabu.
Mohd Zuhairi (dua dari kiri) meninjau jualan di sebuah pasar raya di Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 40 premis jualan di negeri ini dikenal pasti mengalami kekurangan bekalan telur menerusi Ops Terjah yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sejak 17 Disember lalu.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, kesemua premis itu melibatkan beberapa kawasan di negeri ini.

Menurutnya, pemeriksaan melibatkan pasar awam, pasar mini, kedai runcit, gerai penjaja kecil dan kedai makan.

"Ops Terjah yang dijalankan melibatkan sebanyak 110 premis di beberapa Parlimen di negeri ini. Bagi pemeriksaan melibatkan bekalan telur mendapati 40 daripadanya kurang bekalan.

"Pemeriksaan turut melibatkan bekalan minyak masak mendapati sebanyak 83 premis ada bekalan, 26 premis kurang bekalan dan satu premis tiada bekalan serta pemeriksaan bekalan ayam mendapati tiga premis kurang bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Op Terjah di sebuah pasar raya di sini pada Rabu.

Mohd Zuhairi ketika sidang akhbar selepas meninjau jualan di sebuah pasar raya di Klang pada Rabu.
Mohd Zuhairi ketika sidang akhbar selepas meninjau jualan di sebuah pasar raya di Klang pada Rabu.

Katanya, kaedah lampu isyarat diguna pakai bagi memantau bekalan barangan keperluan asas mencukupi di pasaran terutamanya menjelang Krismas ini.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah lampu isyarat ini menggunakan kod warna hijau, kuning dan merah bagi mengenal pasti keberadaan bekalan keperluan di sesuatu lokaliti atau premis

"Bagi kawasan hijau melibatkan kawasan yang bekalannya mencukupi, kawasan kuning kurang bekalan dan kawasan merah tiada bekalan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilaksanakan secara mengejut dijalankan bagi melihat sendiri keberadaan bekalan dan kedudukan harga runcit barang keperluan asas.

"Pemeriksaan melibatkan bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan pengguna Selangor seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah (termasuk ayam dan telur ayam) dan barang untuk membuat kuih-muih.

"Susulan daripada pemeriksaan, kami akan mengenal pasti isu sebenar gangguan bekalan keperluan asas ini, dan kita akan dapat menilai secara terperinci sebelum sesuatu tindakan diambil untuk mengatasinya," katanya.

Jelas beliau, punca sebenar kekurangan bekalan barang keperluan asas tersebut adalah disebabkan permintaan yang tinggi pengguna di sesuatu lokaliti.

"Saya menasihatkan pengguna untuk membeli dengan bijak sesuatu barangan mengikut keperluan mereka dan tidak membuat pembelian panik.

"KPDN Selangor juga akan mempertingkatkan keberadaan anggota di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!