Belum ada cadangan pulihara Terusan Wan Mat Saman - MB Kedah
ALOR SETAR - Orang ramai diminta tidak menjadikan Terusan Wan Mat Saman yang merupakan warisan sejarah Kedah sebagai tong sampah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau menyeru masyarakat untuk sama-sama memulihara khazanah sejarah berkenaan.
Beliau berharap rakyat memberi perhatian terhadap terusan buatan manusia terpanjang di Malaysia berusia 137 tahun itu, sekali gus menjaga kebersihannya.
Jelasnya, setakat ini, kerajaan negeri belum memiliki cadangan untuk pemuliharaan terusan itu disebabkan faktor kekangan kewangan.
"Setakat ini, belum ada (cadangan untuk memulihara terusan) (Ia disebabkan masalah) kekangan wang.
"Terusan itu sudah berpuluh-puluh tahun sudah macam itu bukan baru berlaku,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan supaya terusan bersejarah di Kedah dipulihara segera.
Beliau juga memaklumkan tidak mempunyai maklumat mengenai peruntukan pemuliharaan terusan memandangkan ia di bawah agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Pada Rabu, sebuah portal berita melaporkan keadaan terkini Terusan Wan Mat Saman yang berbau dan kotor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!