Kerajaan Perpaduan tidak pinggirkan Kelantan
PASIR MAS - Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjungi Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai Perdana Menteri bukti Kerajaan Perpaduan tidak pinggirkan negeri pimpinan Pas ini.
“Lawatan saya ke Kelantan bukti kesediaan saya untuk bekerjasama dengan semua.
"Saya sudah beritahu sebelum ini, tugas saya sebagai Perdana Menteri adalah berusaha mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin.
“Soal pilihan raya, rakyat yang memilih. Tanggungjawab saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana," katanya semasa mengadakan lawatan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini pada Rabu.
Menurut beliau, tumpuan utama adalah di Kelantan kerana memandangkan negeri ini banjir teruk.
Ujarnya, jika bercakap soal pelabuhan mungkin sesuai di Johor, mengikut keutamaan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut bersedia menerima kunjungan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi membincangkan isu pembangunan negeri itu.
“Saya beri jaminan bukan sahaja hari ini, tetapi pada masa depan sekiranya ada keperluan saya sedia menerima beliau sama ada di pejabat atau di mana sahaja untuk berbincang hala tuju untuk kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!