Piala AFF: Malaysia bermula langkah kanan

Faisal (depan) meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna pada Rabu. - Foto Bernama
Faisal (depan) meraikan jaringannya ketika membantu Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF di Stadium Thuwunna pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA memulakan saingan Kumpulan B Piala AFF 2022 dengan langkah kanan setelah menundukkan Myanmar 1-0 di Stadium Thuwunna pada Rabu.

Skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon memperoleh gol tunggal menerusi Faisal Halim pada minit ke-52.

Ia merupakan gol kelima daripada 14 penampilan Faisal atau lebih dikenali dengan jolokan Mickey bersama skuad kebangsaan.

Perlawanan agak perlahan pada babak pertama dengan penguasaan bola berpihak pasukan tuan rumah yang turut melancarkan serangan balas pantas.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan buntu memecah benteng lawan dan keputusan terikat tanpa jaringan.

Memasuki babak kedua, Malaysia membuat pertukaran dengan memasukkan pemain naturalisasi, Lee Tuck dan rentak permainan skuad negara berubah di jentera depan.

Faisal menjadi duri dalam daging buat Myanmar apabila menyudahkan bola hantaran kapten, Safawi Rasid untuk menewaskan Kyaw Zin Phyo di gawang.

Tersentak jaringan itu, Myanmar cuba bangkit memburu jaringan penyamaan dan hampir membuatkan hasil, namun peluang sepakan penalti dipersiakan oleh Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Syihan Hazmi menafikan sepakan penalti pemain Myanmar untuk membantu skuad Harimau Malaya meraih tiga mata sulung.

Malaysia akan menentang Laos dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu dan bertandang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada 27 Disember.

Pasukan kebangsaan akan menutup tirai peringkat kumpulan berdepan Singapura di laman sendiri pada 3 Januari.

Malaysia pernah muncul juara pada edisi 2010, selain naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!