Warga emas hilang ditemui meninggal dunia
TAMPIN - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang pada 7 Disember lepas, Aliah Omar,74, ditemui di kebun kelapa sawit peringkat 3 Felda Sungai Kelamah, Gemas di sini pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pada jam 5.30 petang pihaknya menerima maklumat dari anggota Pondok Polis Sungai Kelamah mengenai seorang penduduk menjumpai rangka tulang disyaki manusia yang telah reput ketika sedang mengembala lembu di kawasan itu.
"Hasil siasatan dan pengecaman dibuat oleh anak simati berdasarkan pakaian dijumpai bersama rangka mayat tersebut dipercayai adalah ibunya yang dilaporkan hilang sebelum ini.
"Rangka mayat berkenaan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebuah keluarga di Felda Sungai Kelamah di sini tidak putus berdoa dan berharap keajaiban supaya ibu mereka yang dilaporkan hilang sejak 7 Disember lepas, Aliah Omar,74, ditemui segera dalam tempoh terdekat.
Kehilangan warga emas itu yang juga dikenali sebagai Mak Cik Senah disedari pada 6 Disember lepas oleh anak bongsunya Che Roshidee Che Harun, 32, kira-kira jam 3 petang selepas sarapan pagi yang dibawanya tidak terusik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!