Tragedi Batang Kali: SAR tangguh demi keselamatan petugas
BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki tujuh mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca hujan di sini pada Rabu.
Operasi SAR terpaksa dihentikan sementara sekitar jam 4 petang tadi dan tidak dapat diteruskan semula berikutan hujan berterusan sehingga lebih kurang jam 9 malam.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati hujan lebat mula turun dianggarkan selama 30 minit sekitar jam 3.30 petang dan berhenti seketika namun cuaca kembali hujan tidak lama kemudian sehingga ke waktu malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, operasi SAR ditangguhkan sementara bagi mengutamakan keselamatan pasukan penyelamat di lokasi.
"SAR ditangguhkan sejak kira-kira jam 4 petang tadi susulan faktor cuaca dan tahap keselamatan.
"Justeru itu, SAR akan disambung semula jam 8 pagi esok ekoran faktor keselamatan,” katanya ringkas dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, pasukan SAR berjaya menemui dua orang mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan pada malam Selasa dan lelaki dewasa sekitar jam 11.19 pagi, Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilapor berkata, mayat kanak-kanak berkenaan ditemui pada kedalaman 17 meter manakala mangsa lelaki dewasa ditemui dalam keadaan berpelukan dengan anjing peliharaannya sedalam 4.5 meter di sektor B.
Penemuan dua mangsa berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa maut seramai 26 orang manakala dianggarkan seramai tujuh lagi individu masih hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!