'Sampai bila penduduk Rantau Panjang kena hadapi banjir'

Penduduk di Rantau Panjang mencadangkan kerajaan memperbanyakkan pintu air dan membina anak sungai sebagai usaha menyelesaikan masalah banjir.
Penduduk di Rantau Panjang mencadangkan kerajaan memperbanyakkan pintu air dan membina anak sungai sebagai usaha menyelesaikan masalah banjir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk di sini mencadangkan kerajaan supaya memperbanyakkan pintu air dan membina anak sungai sebagai usaha menyelesaikan masalah banjir susulan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang masih belum siap sepenuhnya ketika ini.

Seorang penduduk, Mohamed Mat Yakob, 64, menegaskan cadangan itu tampak relevan kerana ia membolehkan air mengalir dengan lebih bebas sekali gus mengurangkan risiko banjir buruk sebagaimana yang berlaku ketika ini.

"Sampai bila penduduk di Rantau Panjang perlu berdepan penderitaan ini.

"Tolonglah.... apa yang berlaku sepanjang tahun ini amat perit untuk diharungi kerana kamu tidak pernah terfikir untuk berdepan banjir begitu buruk.

"Saya percaya bila pintu air banyak, lebih cepat banjir akan surut. Berkemungkinan kalau banjir yang melanda, ia tidak seburuk hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut pesara guru itu, kerajaan perlu mencontohi pendekatan Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membina anak sungai sendiri untuk mengelakkan landasannya ditenggelami banjir.

Katanya, situasi itu dapat dilihat apabila laluan KTMB dari Rantau Panjang ke Pasir Mas tidak ditenggelami banjir.

Seorang lagi penduduk, Mat Zukepli Abdullah, 58, yang merupakan petani berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah banjir.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penduduk bimbang jika kerajaan terus berlengah berkemungkinan besar mereka akan terus menderita.

"Boleh katakan seluruh kawasan Rantau Panjang yang sebelum ini tidak pernah tenggelam dilimpahi air.

"Lebih memeritkan lagi air bukan sahaja dalam, malah arusnya turut deras sekali gus menyukarkan kami untuk keluar mendapatkan bekalan makanan," katanya.

Sementara itu, penyelia ladang, Che Haron Zakaria, 57, berkata, dia sudah trauma berdepan banjir yang disifatkan terburuk dalam sejarah.

"Setiap kali hujan lebat, hati saya akan menjadi tidak keruan kerana air naik dengan terlalu cepat.

"Selain itu, banjir yang sudah acap kali berlaku ini menyebabkan penduduk berdepan kerugian sehinggakan kami terpaksa membuang banyak barang yang rosak," katanya.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!