'Dewan rakyat bukan tempat tunjuk siapa hebat'
SHAH ALAM - Masalah rakyat sukar diselesaikan apabila masih terdapat pemimpin politik yang masih belum mengamalkan sikap berjiwa besar.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana Dewan Rakyat sebagai tempat untuk membincang dan menyelesaikan masalah rakyat digunakan bagi perdebatan isu-isu peribadi.
"Dewan Rakyat bukan tempat untuk tunjuk garang atau siapa yang hebat berdebat tetapi bagi membincangkan masalah rakyat dan melahirkan dasar baharu demi manfaat rakyat.
"Kalau kesedaran ini wujud (berjiwa besar), kita akan lebih fokus,"ujarnya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Gila Kuasa, Negara Binasa' yang disiarkan secara langsung di semua platform Digital Sinar Harian pada Rabu.
Turut diundang menjadi panelis Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.
Dalam pada itu, Mujibu memberitahu, sudah tiba masanya untuk mengamalkan politik sederhana dan mereka yang menceburinya bukan untuk kuasa dan kekayaan.
"Mentaliti ini kalau tidak kikis dan dibuang, rakyat akan melihat parti politik bukan sebagai wardah perjuangan tetapi untuk mencari kepentingan peribadi.
"Perkara tersebut akan merugikan kita semua," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!