Guardiola tekad bawa City menang Liga Juara-Juara
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan misinya untuk memenangi Liga Juara-Juara antara faktor dia menyambung kontrak baharu bersama kelab gergasi England itu.
City telah menikmati kejayaan domestik membanggakan di bawah bekas jurulatih Bayern Munich dan Barcelona itu dengan memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali sepanjang lima musim lalu.
Bagaimanapun, Guardiola masih belum mampu membawa City menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara walaupun berjaya mara ke final pada 2021 sebelum tunduk kepada Chelsea dan ditewaskan Real Madrid pada saingan separuh akhir musim lalu.
"Saya akui ia adalah trofi yang kami mahukan dan sudah tentu ia tidak akan lengkap jika kami tidak memenanginya.
"Tetapi, ia bukan satu-satunya sebab saya menyambung kontrak, sama sekali tidak.
"Sudah tentu, saya akan melakukan segala-galanya dan akan cuba menjulang trofi tersebut bersama City," katanya.
Guardiola telah membantu City memenangi 11 trofi dalam semua kejohanan yang disertai dan pengendali berusia 51 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi kelab yang memberikan kepercayaan kepadanya.
"Saya katakan banyak kali apa yang saya ada di sini. Terima kasih atas keyakinan yang mereka ada terhadap saya.
"Sukar untuk membalas balik apa yang telah ditunjukkan dalam beberapa tahun ini.
"Sukar juga untuk saya menolak sambungan kontrak ini kerana mereka masih mahu saya dan kakitangan saya mencuba dan melakukan yang terbaik.
"Saya tidak mempunyai kata-kata yang cukup untuk menyatakan rasa terima kasih yang luar biasa untuk kelab ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!