Mangsa banjir di PPS Gual Periok rayu bantuan segera

Mangsa banjir berdepan masalah susu bayi dan lampin pakai buang yang kehabisan stok.
Mangsa banjir berdepan masalah susu bayi dan lampin pakai buang yang kehabisan stok.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 1,316 mangsa banjir dari 513 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) Gual Periok di sini merayu bantuan segera berupa bekalan tuala wanita, lampin pakai buang dan air bersih selepas terputus hubungan apabila semua laluan dinaiki air.

Lebih memeritkan, sudah empat hari mereka menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik serta hanya bergantung hidup kepada air banjir untuk mandi, mencuci dan sebagainya.

Wakil mangsa banjir, Mastura Abdullah, 32, berkata, banjir kali ini disifatkan sangat luar biasa apabila air naik terlalu cepat sehingga menyebabkan mereka menjadi panik.

"Kami hanya sempat membawa apa yang dapat dicapai. Sekarang ini kami berdepan masalah ketiadaan tuala wanita, lampin pakai buang, susu bayi dan air bersih.

"Sebelum ini ada pihak memberi kami air botol tetapi ia sudah habis kerana mangsa banjir terlalu ramai," katanya kepada pemberita ketika dihubungi pada Khamis.

Mangsa banjir di PPS Gual Periok, Rantau Panjang memerlukan bekalan tuala wanita, lampin pakai buang dan air bersih.
Mangsa banjir di PPS Gual Periok, Rantau Panjang memerlukan bekalan tuala wanita, lampin pakai buang dan air bersih.

Menurutnya, disebabkan masalah bekalan elektrik, mereka baru hari ini (Khamis) dapat berhubung dengan dunia luar.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan talian telefon adalah teruk ketika ini dan sukar untuk membuat panggilan.

Artikel Berkaitan:

Dia memberitahu, makanan hanya diberikan dua kali sehari tidak seperti kebiasaan iaitu tiga kali.

"Kami faham situasi sekarang semua jalan ditenggelami air.

"Tetapi kami berharap ada pihak yang dapat memberikan bantuan segera kerana keadaan kami di sini kritikal... terutama susu bayi, lampin pakai buang dan tuala wanita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!