Penjawat awam paling ramai tidak terima vaksin di Perak

Sivanesan ketika menjawab soalan lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.
Sivanesan ketika menjawab soalan lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Penjawat awam paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini, kata Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan.

Beliau berkata, statistik setakat Disember menunjukkan, masih terdapat enam peratus rakyat layak di negeri ini yang majoritinya kakitangan awam belum divaksinasi.

"Kita masih cuba untuk nasihatkan mereka supaya mendapatkan vaksin.

"Di peringkat swasta kita tidak mempunyai masalah, tetapi dalam perkhidmatan awam, alami masalah, namun saya percaya perkara ini akan dapat diatasi pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Fakhruddin Abd Aziz (Pas-Kamunting) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

Sivanesan berkata, rekod menunjukkan hampir 98 peratus kakitangan di sektor swasta di Perak telah melengkapkan imunisasi masing-masing.

Katanya, perkara itu didorong ketetapan dibuat majikan yang mewajibkan setiap pekerjanya mengambil suntikan vaksin.

"Di swasta, majikan boleh paksa pekerja untuk terima vaksin, jika tidak mungkin boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk pemecatan jawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, bekalan ubat di semua 15 hospital kerajaan di negeri ini adalah mencukupi.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak berdepan dengan masalah kewangan bagi mendapatkan bekalan ubat-ubat bagi keperluan semua hospital.

"Tiada isu kekurangan ubat dihadapi di hospital, malah bekalannya adalah sama taraf dan nilainya dengan hospital swasta," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima peruntukan bekalan perubatan untuk perolehan ubat dan bukan ubat pada awal Januari 2022 berdasarkan permohonan dan penggunaan tahun 2021.

Jelasnya, perolehan ubat-ubatan sentiasa dipantau supaya berada pada paras stok optima iaitu antara 1 hingga 3 bulan.

"Gangguan hanya berlaku di peringkat pengilang untuk beberapa jenis ubat di mana kuantiti yang dipesan oleh fasiliti kerajaan tidak dapat dibekalkan.

"Antara maklum balas yang diperolehi adalah berlakunya gangguan bekalan mendadak di peringkat global disebabkan peningkatan permintaan stok di luar jangkaan yang melebihi kapasiti pengilangan.

"Kesukaran pengilang dalam mendapatkan sumber bahan aktif farmaseutikal berikutan pelbagai faktor luaran seperti China lockdowns dan kesan peperangan antara Rusia dan Ukraine serta masalah kekangan penghantaran logistik di pihak pengilang menyebabkan penghantaran secara berperingkat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!