Isu tanah runtuh: Parlimen Ampang wajar diberi tumpuan
SHAH ALAM - Tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan nyawa seharusnya membuka mata pihak berkuasa tempatan untuk lebih mengawal selia cerun bukit di kawasan masing masing.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mahu kawasan Ampang yang terdapat beberapa insiden kecil tanah runtuh sebelum ini diawasi sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang bencana tidak diingini.
"Menginsafi tragedi di Batang Kali, rakyat Ampang turut meluahkan kerisauan terhadap cerun yang berisiko dan lereng bukit yang mula diteroka tanpa izin dan tanpa mengikut syarat-syarat ketat yang ditentukan oleh pihak berwajib.
"Berdepan perubahan iklim dunia, kawasan tanah tinggi dan litupan hutan sewajarnya diteguhkan menjadi tulang belakang Ampang dan bukannya digusarkan sebagai punca ancaman bencana.
"Selaku Ahli Parlimen, saya berpandangan Garis Panduan Penilaian Kerentanan Tanah dan Indeks Risiko bagi Infrastruktur Kritikal di Malaysia berkuat kuasa 15 Ogos 2022 yang diterbitkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu dilaksanakan segera di semua peringkat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Rodziah yang juga merupakan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Negeri Selangor juga mahu warga Ampang dibekalkan dengan laporan penilaian tanah dalam tempoh tiga bulan daripada sekarang.
Menurutnya, selain papan tanda cerun, warga Ampang juga perlu disediakan matriks risiko bagi kawasan masing-masing supaya status keadaan setempat lebih difahami; sama ada ia selamat, berisiko atau sememangnya terjejas teruk.
"Analisis peta ancaman bencana, peta risiko dan peta kerentanan perlu mudah diakses orang awam secara komprehensif dan berkala.
"Pembinaan kritikal di cerun dan lereng bukit perlu dikawal, sama ada yang sedang berlangsung atau masih dalam perancangan," katanya.
Rodziah berkata, perkara itu perlu dipastikan oleh pihak berkuasa tempatan terutamanya apabila membabitkan kawasan yang mempunyai sejarah tanah runtuh di kawasan sekitar, keadaan topografi kawasan dan laporan pergerakan tanah memungkinkan tanah runtuh, terdapat benteng penghalang tanah sedia ada dikhuatiri roboh jika ada pembinaan baharu dan terdapat aktiviti pertanian atau perhutanan di kawasan berdekatan sehingga memungkinkan kesan tanah runtuh berantai.
"Manifestasi iltizam pihak berkuasa tempatan akan tertonjol dengan pelaksanaan kawalan bersungguh-sungguh dan pelaporan komprehensif secara berkala.
"Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang berdedikasi membantu dan bekerjasama agar iltizam ini dijayakan bersama dalam tempoh yang wajar," katanya.
Rodziah turut memuji inisiatif rakyat untuk membantu membabitkan latihan dalam komuniti seperti yang diusahakan di Ampang bersama Japan International Cooperation Agency (JICA), Keselamatan dan Sekuriti Komuniti Dengan Memahami Risiko Bencana (SeDAR), juga Community-Based Disaster Risk Reduction (CBDRR) yang merupakan contoh yang baik sebagai persediaan menghadapi sebarang masalah tanah runtuh pada masa hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!