Tiga awak-awak Myanmar nekad terjun laut, elak dicekup

Maritim Selangor merampas bubu naga digunakan nelayan untuk aktiviti menangkap ikan di Perairan Sekinchan pada Rabu.
Maritim Selangor merampas bubu naga digunakan nelayan untuk aktiviti menangkap ikan di Perairan Sekinchan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga awak-awak warga Myanmar nekad terjun ke laut meloloskan diri daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di kedudukan 1.8 batu nautika Barat Daya Sekinchan di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan lima set bubu naga pada jam 1.45 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah selain menggunakan bot tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Usaha mencari ketiga-tiga lelaki terbabit masih dijalankan dan sehingga kini semua mereka belum dijumpai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Siva Kumar berkata, selain daripada tiga lelaki terbabit, pihaknya terlebih dahulu menahan enam lelaki di dua bot berbeza sekitar jam 1 petang Rabu.

"Bot pertama ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Sekinchan dan hasil pemeriksaan mendapati tiga warga Myanmar tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah berada di atas bot tersebut berserta 60 set bubu naga dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti menangkap ikan.

"Bot kedua yang berada berhampiran ditahan kira-kira jam 1.20 petang, manakala pemeriksaan mendapati bot tersebut juga dikendalikan oleh tiga warga Myanmar tiada dokumen pengenalan diri sah dan terdapat 70 set bubu naga di atas bot tersebut," kata beliau.

Ujar beliau, ketiga-tiga kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan bot menangkap ikan tanpa lesen Jabatan Perikanan Malaysia serta menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan dan pekerja asing tidak memiliki pdokumen pengenalan diri sah.

Artikel Berkaitan:

"Keenam-enam warga Myanmar dan tiga bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," jelas beliau.

Katanya, penguatkuasaan akan terus pertingkat memandangkan aduan sering diterima mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih berdegil menggunakan bubu naga.

Jelas beliau, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin yang berpotensi pupus selain menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

Sebarang aduan atau maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!