Bahaya suntik minda dengan racun kebencian
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar insiden serangan keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini betapa bahayanya perbuatan menyuntik minda dengan racun kebencian dan permusuhan yang dilakukan atas nama kaum serta agama.
Jelas baginda, peristiwa yang mengorbankan 50 nyawa dan 42 lagi cedera itu membuktikan terbina watak zalim yang melampau akibat kerosakan minda dan jiwa yang berprasangka buruk, dipengaruhi prejudis salah faham dan persepsi melalui indoktrinasi yang menyuntik racun kebencian dan permusuhan.
"Perbuatan oleh mana-mana pihak mensensasikan isu kaum dan agama, dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar keamanan, perpaduan dan kerukunan yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
"Demi kestabilan negara keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan agama hendaklah dielakkan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Sultan Nazrin menyifatkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Kate Laurell Ardern sebagai pemimpin tulen yang berjiwa besar melalui kenyataan dan tindak tanduknya menangani peristiwa hitam itu.
Kata baginda, hanya satu peratus penduduk New Zealand beragama Islam, tetapi Jacinda Kate memberikan keyakinan bahawa keselamatan dan hak mereka beragama akan diberikan perlindungan.
"Suara keinsanan dan pendirian tegas Jacinda Kate ialah suara yang menggemakan kebenaran, pendirian yang berlandaskan keadilan.
"Suara yang sewajarnya dijadikan teladan, untuk digemakan ke seluruh maya, pendirian yang sewajarnya dijadikan rujukan dalam kalangan pemimpin dunia," titah baginda.
Dalam titahnya, baginda turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta semua anggota Dewan yang beragama Islam membaca al-Fatihah sementara bagi yang bukan Islam bertafakur sebagai tanda hormat.
"Kita menzahirkan simpati dan ucap takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka dilimpahkan ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini.
"Semoga dalam kalangan mereka yang cedera dapat mengatasi trauma yang dialami agar mereka segera pulih dan dapat kembali hidup secara normal," titah baginda.
Terdahulu baginda memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Kem Ulu Kinta.
Selesai istiadat berkenaan, Sultan Perak bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi ke Bilik Diraja sebelum menyampaikan titah ucapan perasmian.
Persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung selama enam hari bermula 16 April hingga 18 April sebelum disambung pada 22 hingga 24 April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!