Kerajaan negeri pandang serius isu Lebuhraya Pasir Gudang

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri memandang serius isu keadaan jalan berlubang di laluan Lebuhraya Pasir Gudang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Fazli Mohd Salleh berkata, kepadatan trafik dikenal pasti menjadi antara punca utama laluan Lebuhraya Pasir Gudang kerap mengalami kerosakan.

Jelasnya, dianggarkan sebanyak 48,000 kenderaan menggunakan lebuh raya berkenaan setiap hari untuk ke Pasir Gudang yang menempatkan kawasan perindustrian terbesar di negara ini.

"Kepadatan trafik menjadi salah satu faktor jalan lebuh raya Pasir Gudang mengalami kerosakan. Situasi itu menyebabkan laluan lebuh raya tidak boleh ditutup terlalu lama bagi kerja- kerja baik pulih jalan kerana akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Keadaan diburukkan lagi dengan lori treler diletakkan di bahu jalan yang menyebabkan kerosakan jalan. Di sebelah laluan lebuh raya, terdapat Sungai Rinting yang menyebabkan struktur tanah di situ tidak kukuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Lebuhraya Pasir Gudang sepanjang kira-kira 38 kilometer itu turut berdepan kejadian banjir kilat pada awal bulan ini, sehingga menyebabkan banyak kenderaan terperangkap dan tular di media sosial.

Mohd Fazli
Mohd Fazli

Sinar Harian menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat pada Khamis, menyiarkan keluhan pengguna dan penduduk di Pasir Gudang yang menganggap laluan lebuh raya itu satu perangkap maut kerana keadaan jalan yang rosak teruk.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fazli memberitahu, beberapa cadangan dan langkah akan diambil bagi mengatasi isu kerosakan jalan dan banjir kilat yang berlaku di lebuh raya berkenaan.

"Sebanyak RM5.2 juta diperuntuk bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan jalan. Selain itu, sebanyak RM150 juta bagi menambah baik jalan dijangka bermula pada tahun depan.

"Antara cadangan mengurangkan kerosakan di bahu jalan ialah penggunaan konkrit yang lebih kukuh," katanya.

Mohd Fazli berkata, projek pembangunan dan hujan terlampau lebat menjadi faktor berlakunya banjir kilat di lebuh raya berkenaan pada awal Disember ini.

"Saya sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang buat kolam takungan air, mengambil kira keadaan tanah merah yang berada di dalam longkang dan sungai sewaktu tinjauan dilakukan.

"Setakat ini, dua kali banjir dilaporkan berlaku kawasan itu. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga melaksanakan kerja-kerja mendalamkan Sungai Rinting.

"Tetapi untuk jangka masa segera, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyalurkan peruntukan sebanyak RM230,000 bagi kerja-kerja membina pintu air dan meninggikan benteng," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazli berharap hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan membantu menyelesaikan banyak isu jalan di Johor terutama Lebuhraya Pasir Gudang.

"Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri, memberi komitmen untuk membantu isu Lebuhraya Pasir Gudang.

"Saya akan membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Diharap komitmen yang sama dapat diberikan untuk menyelesaikan isu Lebuhraya Pasir Gudang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!